KUALA LUMPUR, 31 Okt – Superbrands, sebuah badan global yang bebas dan penentu penjenamaan, telah memilih 34 jenama tempatan untuk diberi pengiktirafan sebagai nama yang paling bernilai dan kukuh semasa Anugerah Superbrands Malaysia 2018.
Antara jenama tersebut adalah penjual pakaian ibadah wanita – Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, syarikat produk herba semulajadi – Hurix’s dan taman tema kanak-kanak – KidZania.
Turut terpilih ialah jenama-jenama dari pelbagai sektor lain termasuk teknologi maklumat, kesihatan, tekstil, sukan dan pendidikan.
Pengarah, Mike English berkata, pemilihan itu telah dibuat oleh anggota majlis Superbrand serta profesional-profesional pemasaran melalui satu undian dalam talian.
“Selepas melalui kriteria pemilihan ketat yang ditetapkan oleh Superbrands, lebih 3,000 profesional telah dipelawa bagi mengundi calon jenama.
“Lebih daripada 1,242 jenama Malaysia telah mendapat skor terbaik daripada majlis pemilihan dan jenama yang memperoleh markah tertinggi, kemudiannya dipilih sebagai Superbrands,” katanya.
Menurut English lagi, jenama yang terpilih akan dimasukkan dalam buku Superbrands dan diiringi dengan sejarah dan pencapaian setiap jenama itu. – BERNAMA











