MANILA 31 Okt. – Pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan sekurang-kurangnya 30 mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan tanah dan batu selepas taufan Yutu membawa hujan lebat sehingga menyebabkan banjir dan tanah runtuh di kawasan pergunungan.
Tentera dan kakitangan agensi bencana berjaya melepasi jalan yang terhalang untuk sampai ke kawasan terpencil pada waktu malam di Wilayah Utara, di mana sebuah bangunan milik jabatan lebuh raya tempatan tertimbus akibat runtuhan itu.
“Selain itu, mayat seorang mangsa juga ditemukan, satu daripada tujuh orang yang terbunuh di empat wilayah di rantau Cordillera,” menurut Pengarah Pejabat Pertahanan Awam,Ruben Carandang.
Taufan Yutu melanda pulau utama Luzon, semalam dengan kelajuan angin 140 kilometer sejam dan angin kencang sehingga 230 kilometer sejam , sebelum bergerak keluar daripada kawasan itu pada petangnya.
Taufan berkenaan melanda enam minggu selepas taufan Super Mangkhut yang menyebabkan 50 tanah runtuh di Cordilleras, mengorbankan lebih 70 orang.
Carandang dalam perbualan telefon berkata, ada kemungkinan mereka yang masih hidup dalam bangunan itu.
Agensi bencana itu memberitahu 20 pekerja, seorang jurutera, tiga pengawal keselamatan dan enam atau tujuh penduduk berada dalam bangunan berlindung dari taufan.
Sementara itu, enam orang terkorban di rantau Cordillera dalam kejadian tanah runtuh dan seorang lemas dalam sungai yang melimpah. Empat yang terbunuh adalah kanak-kanak berusia antara 5 dan 11 tahun.
Dalam pada itu, siaran radio melaporkan seorang lelaki telah disambar petir di wilayah Isabela, ketika Yutu membadai kawasan itu.
Badan Bencana Nasional melaporkan tiada korban yang disahkan hari ini, mereka yang terbunuh adalah disebabkan tanah runtuh. – REUTERS











