JAKARTA 31 Okt. – Anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengesan sebuah objek sepanjang 22 meter dipercayai rangka pesawat Lion Air JT610 di dasar laut iaitu di lokasi pesawat itu terhempas di perairan Tanjung Karawang.
Kolonel Haris Djoko Nugroho memberitahu stesen televisyen TVOne, tentera laut Indonesia menggunakan alat pengesan sonar untuk mengesahkan sama ada objek tersebut merupakan sebahagian daripada rangka pesawat terbabit.
Menurut beliau, pihaknya telah menghantar penyelam selepas menerima isyarat pengesan di timur perairan Jakarta dipercayai kawasan lokasi pesawat Lion Air JT610 terhempas.
Terdahulu Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto berkata, pihaknya percaya bahawa pesawat itu telah berjaya dikesan.
Seorang pegawai keselamatan pengangkutan memaklumkan sekumpulan penyelam telah dihantar setelah pasukan SAR menerima isyarat ‘ping’ lewat semalam.
Menurut Hadi, melalui penggunaan teknologi sonar, pihak berkuasa yakin mereka telah menemukan lokasi pesawat Boeing 737-Max itu yang terhempas ke dalam laut kelmarin.
“Kami amat yakin telah dapat menentukan koordinat bangkai pesawat itu,’’ katanya.
Kapal tentera KRI Rigel kini berada di lokasi koordinat itu dengan dibantu oleh beberapa kapal TNI dan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) .
Hadi, bagaimanapun menambah, pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada objek yang ditemukan adalah milik pesawat terbabit.
Pencarian pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di laut bersama-sama 189 penumpang akan diperluaskan sehingga 24 kilometer nautika dari lokasi ketika terputusnya hubungan pesawat itu dengan pihak berkuasa.
Kini, boleh dipastikan kesemua yang menaiki pesawat itu terbunuh tetapi setakat ini, hanya cebisan mayat dan serpihan ditemukan.
Indonesia telah menghantar sekumpulan penyelam untuk mencari pesawat itu dengan harapan dapat menemukan perakam kokpit dan mencari punca pesawat baharu itu terhempas di laut selepas berlepas.
Saksi Reuters melaporkan, seramai 60 penyelam melakukan pencarian dalam laut yang keruh airnya pada kedalaman 35 meter selain dibantu sebanyak 36 kapal.
Hanya serpihan, barangan peribadi termasuk 52 kad pengenalan dan pasport serta cebisan mayat ditemukan di pantai wilayah Karawang, timur Jakarta. – Agensi











