PULAU PINANG 31 Okt. – Seorang ibu tidak dapat menahan sebak ketika menerima ijazah anak kelimanya, Allahyarham Nur Syazana Azmi yang meninggal dunia ekoran penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) Mac lalu.
Lebih memilukan, Fatimah Baharum, 59, yang mengharap sokongan suaminya untuk meneruskan hidup turut kehilangan tempat bergantung apabila suaminya itu, Allahyarham Azmi Ali turut meninggal dunia hanya 19 hari selepas kehilangan Nur Syazana.
Menurut Fatimah, meskipun sedih dengan dugaan yang cukup berat itu, namun dia pasrah dan reda dengan ketentuan Allah SWT.
“Saya amat terkesan dengan kehilangan dua insan tersayang dalam masa yang singkat. Arwah anak yang baik dan saya hanya mengetahui dia menghidap SLE beberapa minggu sebelum kehilangannya.
“Saya akan simpan ijazah ini sebagai kenangan dan akan sentiasa mendoakan kedua-dua arwah anak dan suami ditempatkan dalam kalangan kekasih Allah SWT,” kata ibu kepada tujuh cahaya mata itu.
Sementara itu, anak sulung Fatimah, Nor Azira Azmi pula berkata, dia kagum dengan semangat ibunya dan menyifatkannya sebagai seorang wanita yang cukup tabah.
“Saya dan adik-adik sentiasa bersama ibu bagi memastikan dia gembira dan tidak terlalu memikirkan ujian Allah ke atas, kami sekeluarga. Ibu tetap kuat dan tenang menghadapi segala yang telah berlaku,” ujarnya.
Allahyarham Nur Syazana dianugerahkan Ijazah Anumerta (Sarjana Muda Sains Gunaan) sempena Sidang Keenam Upacara Konvokesyen Ke-56 Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.
Ijazah Allahyarham disampaikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan majlis itu turut dihadiri Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail.











