Bank Rakyat, myWakaf sumbang RM780,000 untuk pusat hemodialisis - Utusan Malaysia

Bank Rakyat, myWakaf sumbang RM780,000 untuk pusat hemodialisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Pusat rawatan hemodialisis di sekitar Kuala Terengganu, Terengganu bakal memperoleh dana wakaf bernilai RM780,000 hasil daripada kerjasama yang telah dimeterai oleh Bank Rakyat dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Pengarah Urusan, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid berkata, ia merupakan sebahagian daripada inisiatif projek myWakaf yang diterajui Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (Aibim) hasil usahasama dengan enam buah institusi perbankan Islam di negara ini.

Menurut beliau, myWakaf memfokuskan kepada pembangunan projek wakaf dalam empat sektor iaitu pemerkasaan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pelaburan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jalinan kerjasama yang dimeterai pada 24 Oktober lalu merupakan inisiatif Bank Rakyat dalam memberi balik manfaat kepada masyarakat.

“Pada masa yang sama kita dapat memaksimumkan kutipan wakaf serta memberi tumpuan kepada pembangunan projek berimpak tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Affin Islamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Rakyat, Maybank Islamic Berhad serta RHB Islamic Bank Berhad telah memeterai Perjanjian Usaha Sama Strategik Dana Wakaf pada 6 September lalu.

Sementara itu, Yang Dipertua Maidam, Datuk Osman Muda berkata, ia diharap dapat memperkukuh peranan wakaf dalam menjana ekonomi serta meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan.

“Kita juga berharap inisiatif ini boleh meningkatkan taraf pendidikan dan kesihatan umat Islam khususnya di Terengganu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Aibim, Datuk Adissadikin Ali berkata, inisiatif myWakaf mampu menjadi pemangkin sosioekonomi dengan penyediaan saluran kutipan dana wakaf yang lebih efektif.

“Iaitu melalui institusi Islam yang terlibat serta memberi pendekatan lebih telus dan kod tadbir urus yang mampu memberi keyakinan kepada pewakaf,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini