PERBEZAAN 12 mata dengan pelumba Marc VDS, Franco Morbidelli langsung tidak mematahkan semangat pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah bagi memburu gelaran rookie terbaik dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
Hafizh yang beraksi bersama pasukan Yamaha Tech 3 ketinggalan 12 mata di belakang juara dunia Moto2 musim lalu itu, namun masih berpeluang untuk memintasnya dalam saingan yang berbaki dua perlumbaan lagi.
Justeru, pelumba berusia 24 tahun itu berkata, peluang untuk memintas kedudukan Morbidelli tetap ada tetapi dia perlu menamatkan perlumbaan di Malaysia dan Valencia dalam kelompok 10 teratas.
“Perbezaan mata saya dengan Morbidelli pada ketika ini adalah 12 mata, namun masih berpeluang untuk memintas kedudukannya jika berjaya tamatkan dua perlumbaan terakhir di kedudukan 10 teratas.
“Bagaimanapun, saya perlu membuat strategi terbaik bagi memastikan prestasi saya sama seperti ketika perlumbaan di Phillip Island minggu lepas. Kemudian, baru kita fikir mengenai perbezaan mata,” katanya ketika ditemui di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.
Pada ketika ini, Hafizh berada di kedudukan ke-18 keseluruhan mengumpul 34 mata, manakala Morbidelli di tempat ke-14 dengan 46 mata.
Mengulas mengenai Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang akan bermula esok hingga Ahad ini, Hafizh berazam untuk memberikan cabaran sengit kepada semua pelumba, lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri.
Dalam pada itu, dia juga berharap cuaca baik sepanjang minggu ini biarpun terkenal dengan kemahiran berlumba dalam keadaan litar basah memandangkan masih belum biasa beraksi ketika hujan dengan jentera MotoGP.
“Bagi perlumbaan minggu ini saya hanya mahu lakukan yang terbaik serta cabar diri sendiri. Saya juga perlu belajar untuk habiskan perlumbaan, selain mahu menggembirakan rakyat Malaysia yang hadir di Sepang nanti.
“Selain itu, saya juga harapkan keadaan litar kering kerana belum ada pengalaman beraksi dalam hujan dengan jentera MotoGP. Apa yang paling penting, kami perlukan enjin yang kompetitif sama seperti pelumba-pelumba lain,” tambahnya.
Pada masa sama, Hafizh juga mendedahkan, jenteranya mungkin diubah suai sedikit termasuk dipasang winglet sama seperti yang diperoleh rakan sepasukan dari Perancis, Johann Zarco.
“Semasa perlumbaan di Buriram sebelum ini, tidak ada banyak perubahan dilakukan. Bagaimanapun, pada perlumbaan di Sepang, saya mungkin akan dapat winglet seperti Zarco, jadi kita cuba lihat bagaimana nanti,” ujarnya.











