KUALA LUMPUR 31 Okt.- Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu bahawa beliau akan sentiasa memberikan pandangan berhubung soal masa depan orang Melayu.
Jelas Ahli Parlimen Muar itu, agenda bagi memastikan orang Melayu menjadi golongan yang berdaulat dan berdikari begitu dekat dengan diri dan keluarganya oleh itu perkara tersebut akan sentiasa diperkatakannya dari semasa ke semasa.
“Kita mahu pastikan, orang Melayu melangkah ke hadapan bersama dan pastikan bahawa orang Melayu itu boleh diiktiraf sebagai bangsa yang berdikari, berdaulat dan pemimpinnya datang daripada mereka yang beramanah dan berintegriti. Oleh itu kita akan dihormati tanpa paksaan.
“Isu ini memang senang orang salah tafsir tetapi akan sentiasa saya bicarakan kerana dekat dengan hati saya kerana saya datang daripada keluarga Majlis Amanah Rakyat (Mara). Kita tidak akan berada di sini tanpa Mara namun sambil itu kita mesti pastikan bahawa masa depan bangsa Melayu dapat terjamin dan menjadi bangsa yang berdaulat dan berdikari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Sementara itu, tambah Syed Saddiq, beliau sependapat dengan Perdan Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa apa sahaja mengenai hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mestilah dikekal dan dipertahankan. – UTUSAN ONLINE











