SEREMBAN – Keadaan kesihatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, kini bertambah baik dan hari ini beliau dipindahkan ke wad biasa dari unit rawatan koronari (CCU), Hospital Serdang di Selangor.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr. Razali Ab. Malik berkata, dalam lawatan hari ini, beliau dimaklumkan oleh doktor bahawa Aminuddin bersemangat tinggi dan pulih dengan cepat.
“Beliau boleh duduk dan berjalan dalam wad,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian sumbangan sempena program komuniti McDonald’s Malaysia di Seremban 2 di sini, petang tadi.
Dr. Razali berkata, Aminuddin Harun selamat menjalani pembedahan di Hospital Serdang, Jumaat lalu dan dijangka kembali pulih dalam tempoh dua minggu.
“Menteri Besar menyampaikan ucapan terima kasih beliau kepada semua orang yang telah mendoakan kesihatan beliau,” katanya.
Aminuddin sebelum ini dilaporkan menjalani pembedahan akibat komplikasi jantung. – K! ONLINE











