KUALA LUMPUR – Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 telah diwarta Jabatan Peguam Negara semalam bagi menggalakkan perancangan dan pembangunan mapan di ibu kota, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pelan itu memberi keutamaan kepada pembangunan kualiti alam sekitar, kesaksamaan sosial dan kemakmuran ekonomi.
“Draf pelan ini telah siap pada 2012 lagi, bagaimanapun kerajaan terdahulu telah menangguhkan beberapa kali usaha untuk mewartakannya sehingga menyebabkan kelewatan dan pembangunan tak mengikut seperti apa yang dirancang,” katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya, hari ini.
Beliau berharap dengan pewartaan itu, tidak akan berlaku lagi pelanggaran dengan membina projek perumahan di kawasan yang tidak sepatutnya seperti yang berlaku di Taman Tiara Titiwangsa, Setiawangsa.
Pelan berkenaan boleh diperoleh di ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan Raja Laut pada waktu pejabat mulai 12 November ini. – Bernama











