CYBERJAYA 31 Okt. – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori pihak berkuasa tempatan (PBT) di atas kejayaannya membangunkan program pendidikan kesedaran mengenai denggi untuk murid-murid tadika.
Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Muhammad Hafiz Shaari berkata, anugerah tersebut diperoleh hasil daripada kejayaan pihaknya membangunkan silibus Taska Free Aedes (Tafes) yang bertujuan memberi pendidikan dan pendedahan awal mengenai kawalan serta pencegahan denggi pada peringkat prasekolah.
“Silibus ini juga mendidik, mendedah dan membimbing anak-anak di fasa prasekolah berkenaan pencegahan serta kawalan demam denggi.
“Pada masa zama, langkah ini juga dapat membentuk kanak-kanak ini menjadi generasi yang berpengetahuan, positif dan menjadi agen perubah dalam keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menerima anugerah tersebut daripada wakil MBOR, Siti Hajar Johor.
Dalam pada itu, katanya, menerusi pengenalan terhadap silibus itu juga dapat memastikan keadaan persekitaran di kawasan prasekolah bersih dan bebas daripada pembiakan nyamuk.
Katanya, pembelajaran Tafes yang bermula pada awal tahun ini telah mendapat sambutan menggalakkan dan disertai lebih 100 prasekolah serta pusat jagaan kanak-kanak di seluruh Sepang. – UTUSAN ONLINE











