Hasil produk nilai tambah tinggi - Utusan Malaysia

Hasil produk nilai tambah tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd. (TNB), menerusi TNB Research Sdn. Bhd. (TNB Research), menjalin kerjasama dengan dua syarikat lain bagi mengendalikan kilang demonstrasi pembersihan kekotoran tandan kosong buah sawit (EFB) yang digunakan dalam pengeluaran palet biomas premium.

TNB menerusi satu kenyataan berkata, palet berkenaan digunakan dalam usaha penjanaan tenaga.

“TNB Research, yang merupakan anak syarikat milik penuh dan cabang penyelidikan dan pembangunan syarikat pada masa ini menjalankan aktiviti penyelidikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia juga menyediakan perkhidmatan kejuruteraan pembangunan membabitkan sisa industri minyak sawit yang diubah kepada produk nilai tambah tinggi,” katanya.

Pada Selasa lepas, TNB Research bersama KEPRI iaitu institut penyelidikan KEPCO yang merupakan utiliti elektrik terbesar Korea Selatan dan pengeluar palet biomas Malaysia, Detik Aturan Sdn. Bhd. (DASB), telah melancarkan kilang demonstrasi tersebut di Tanjung Karang, Selangor.

Ia merupakan kemudahan demonstrasi cucian air biomas pertama seumpamanya di Malaysia.

Bercakap pada majlis pelancaran itu, Pengarah Urusan DASB, Khairil Annuar Khalid menyifatkan penglibatan syarikat dalam projek tersebut dari segi penyediaan lokasi kilang sebagai bukti komitmennya terhadap persekitaran lebih bersih dan sihat.

Sementara itu, Presiden ­KEPRI, Dr. Sung Hwan Bae berkata, sebagai pemaju teknologi elektrik terkemuka Korea Selatan, institut itu gembira kerana dapat menyokong pengembangan palet biomas bernilai tinggi yang berpotensi sebagai bahan bakar untuk penjanaan kuasa.

Pengarah Urusan TNB Research, Ir. Dr. Zainul Asri Mamat pula berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada teknologi baharu yang menyaksikan perniagaan biomas dunia mengalami era perubahan serba pesat.

Beliau turut menyifatkan kerjasama di kilang demonstrasi itu akan memastikan industri palet biomas kekal pada barisan utama dalam usaha memanfaatkan perubahan yang dialami bidang berkenaan.

Pada majlis pelancaran itu, ketiga-tiga pihak turut memeterai memorandum persefahaman untuk menggalakkan kerjasama dua hala dalam teknologi, kecekapan serta peluang perniagaan dalam perniagaan biomas di serata dunia. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini