Deuter Trail Run uji peserta - Utusan Malaysia

Deuter Trail Run uji peserta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTUK muka bumi di sepanjang laluan perlumbaan di Bukit Larut, Taiping, Perak bukan semudah yang disangka.

Rata-rata pelari yang menyertai larian denai Deuter Trail Run siri keenam kali ini tidak menjangka keperitan untuk melepasi trek yang disediakan.

Malah, ada bukit yang didaki di laluan tersebut begitu ‘menyeksakan’ dengan ketinggian dan kecerunannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sungguhpun laluan perlumbaan mencabar, namun majoriti peserta berpuas hati dan gembira selepas dapat mencuba dan melepasi halangan yang disifatkan lebih ‘kritikal’ berbanding dengan siri perlumbaan yang lalu.

Acara anjuran Universal Fitness Leisure (UFL) Sdn. Bhd. kali ini juga berjaya mencapai sasarannya bagi menguji ketahanan mental serta fizikal peserta.

Menurut Pengarah Urusan UFL, Datuk K. Radha, pemilihan tempat kali ini mempunyai signifikan tersendiri termasuk bersempena Sukan Malaysia (Sukma) yang diadakan di Perak.

Selain itu, pemilihan lokasi perlumbaan juga dibuat bagi mempromosikan tempat menarik di sekitar bandar Taiping termasuk Bukit Larut.

“Kami menukar lokasi perlumbaan bagi membantu memacu sektor pelancongan di negeri Perak menerusi kerjasama Majlis Perbandaran Taiping,” katanya ketika ditemui S2 di lokasi perlumbaan baru-baru ini.

Selain itu, pihak penganjur UFL juga menerima maklum balas bahawa ada peserta mahukan laluan yang lebih mencabar.

“Sebab itu, kami pilih lokasi ini,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata, UFL juga mahu menjadikan jenama Deuter lebih terkenal sebagai barangan aktiviti luar, sekali gus muncul sebagai pilihan pertama dalam kalangan rakyat di negara ini.

Dalam perlumbaan itu, hampir 1,000 peserta bersaing bagi menguji kekuatan mental dan fizikal menerusi acara yang dipertandingkan dalam dua kategori iaitu tujuh kilometer (km) dan 15 km.

Dalam pada itu, K. Radha berkata, pihaknya berharap dapat memberikan peluang kepada pelari denai amatur dan profesional untuk mencabar diri bagi mencapai potensi optimum mereka.

“Ramai peserta memberitahu laluan perlumbaan tahun ini paling mencabar dan sukar untuk diselesaikan.

“Kita juga menghadapi beberapa masalah dan aduan teknikal daripada peserta dan berjanji akan mengkaji serta menambah baik perkara tersebut dari semasa ke semasa,” jelas beliau.


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini