KUALA LUMPUR 25 Okt. – Selepas kumpulan pemandu teksi menuntut nasib mereka dibela, kini giliran perkhidmatan e-hailing popular, Grab pula berharap kenderaan persendirian di bawah rangkaian mereka turut mendapat manfaat yang selama ini hanya dinikmati oleh pemandu teksi.
Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh berkata, pihaknya melihat komuniti teksi menikmati beberapa kelebihan dari segi bahan api yang lebih murah, cukai jalan, tol serta duti eksais.
“Kami berharap, demi memupuk persaingan yang adil, manfaat ini juga boleh diberikan kepada pemandu kereta persendirian (e-hailing) juga,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman web Grab Malaysia hari ini.
Jelas Goh lagi, kehadiran Grab bukan berniat untuk merosakkan periuk nasi industri teksi tradisional negara, kerana pemandu teksi juga boleh menyertai rangkaian Grab menerusi perkhidmatan JustGrab.
Beliau bagaimanapun menjelaskan Grab menetapkan syarat yang ketat kepada sesiapa yang mahu menyertai platform mereka bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan mampu menjadi pilihan pengguna.
“Apabila memperkenalkan JustGrab, para pelanggan tidak mahu menggunakan teksi e-hailing atas beberapa faktor, antaranya kualiti kenderaan teksi selain persepsi buruk terhadap komuniti teksi disebabkan sikap segelintir daripada mereka.
“Atas sebab itu, Grab meletakkan syarat-syarat kualiti yang ketat untuk kenderaan teksi atau kenderaan persendiriaan termasuk menetapkan usia kenderaan maksimum 10 tahun,” katanya.
Kata Goh, JustGrab kini menjadi perniagaan teras syarikat dengan pemandu teksi yang menyertai rangkaian tersebut dapat menjana pendapatan yang baik.
Dari segi statistik tambahnya, ketika ini terdapat 17,000 pemandu teksi telah berada dalam rangkaian Grab.
Malah katanya, ada dalam kalangan pemandu teksi itu yang berkhidmat sepenuh masa mampu menjana pendapatan sehingga RM4,000 sebulan selepas komisen. – UTUSAN ONLINE











