KOTA BHARU 24 Okt. – Kerajaan Pas Kelantan menegaskan, permohonan bantuan pinjaman pendahuluan yang dikemukakan mempunyai sandaran dan asasnya kerana kerajaan Pusat juga masih berhutang dengan pihaknya.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan Pusat masih belum menjelaskan beberapa bayaran premium dan cukai sebanyak RM275 juta kepada kerajaan Pas Kelantan.
Justeru, beliau menegaskan bahawa permohonan yang dikemukakan bukan untuk membayar gaji kakitangan awam, sebaliknya sebagai alternatif sekiranya sasaran pendapatan negeri ini tidak mencapai yang ditetapkan.

“Kita juga mempunyai sandaran untuk memohon pendahuluan kerana kerajaan Persekutuan masih belum membayar beberapa bayaran kepada kerajaan negeri pada tahun ini seperti premium tanah Institut Pendidikan Guru, Felda dan baki cukai tanah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
“Bayar gaji sudah cukup dengan jumlah RM300 juta kerana pendapatan daripada hasil tanah dan kayu sudah melebihi RM300 juta. Ini bermakna soal gaji tidak berbangkit untuk memohon pinjaman pendahuluan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini.
Hari ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan dokumen yang mendakwa Kerajaan Pas Kelantan memohon bantuan pinjaman pendahuluan sebanyak RM24.5 juta untuk membayar gaji kakitangan awam pada tahun ini.
Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas berkata, apa yang dipohon daripada kerajaan Pusat adalah ‘pendahuluan boleh dituntut’ bagi menampung keperluan aliran tunai di negeri yang memerlukan.
“Apa yang kita mohon itu adalah ditakuti seandainya pada bulan Disember ini tidak dapat mencapai sasaran bajet pendapatan kerajaan negeri dan perkara ini merupakan satu amalan biasa dalam sistem Persekutuan di negara kita.
“Jadi, pinjaman yang dilakukan itu sebagai ‘persediaan’ untuk urusan pemberian yang mengandungi lima perkara termasuk kebajikan negeri,” katanya











