SKUAD Terengganu Football Club I (TFC I) mendapat tonik tambahan menjelang sepak mula final Piala Malaysia 2018 menentang Perak di Stadium Shah Alam Sabtu ini.
Para pemain boleh berasa gembira apabila kontrak jurulatih skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim disambung setahun lagi sehingga musim depan bagi membentuk pasukan mantap untuk meraih lebih banyak kejayaan pada musim 2019.
“Magis Irfan terus ditagih untuk melakar kecemerlangan yang lebih besar buat TFC I pada musim depan,” ujar Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim.
Selain para pemain, berita baik juga buat rakyat Terengganu apabila diberi cuti peristiwa pada Ahad ini bagi memudahkan urusan perjalanan pergi dan pulang lebih 30,000 penyokong tegar TFC I ke Stadium Shah Alam, Selangor hujung minggu ini.
“Menang atau kalah TFC I pada aksi final tersebut, cuti peristiwa diisytihar untuk seluruh Terengganu Ahad ini,” ujar Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.











