KUALA TERENGGANU 24 Okt. – Kerajaan negeri menerima RM4 juta setahun daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) hasil royalti air projek empangan hidroelektrik yang kedua di Hulu Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, projek hidroelektrik itu melibatkan empangan di Sungai Tembat dan Sungai Puah yang telah siap pada tahun 2016.
Katanya, empangan Puah dan empangan Tembat masing-masing berkeupayaan menjana kira-kira 250 MW dan 15 MW tenaga. Dan hasil daripada projek berkenaan, TNB telah membayar royalti sebanyak RM4 juta setahun sejak 2016 sehingga kini.
“Selain itu, projek berkenaan juga banyak memberi manfaat kepada penduduk termasuk menghalang banjir dan sistem pengairan pertanian di mana mampu mengalirkan air apabila musim kemarau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Antara Kerajaan Negeri dan TNB bagi Skim Hidroelektrik di Hulu Terengganu dan Pembangunan Ibu Pejabat TNB Terengganu, di sini hari ini.
Setiausaha Kerajaan, Datuk A. Rahman Yahya menandatangani bagi pihak kerajaan negeri manakala TNB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohamad dengan disaksikan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mengenai penjanjian yang melibatkan pembangunan Ibu pejabat TNB Terengganu, Dr. Mamad berkata, ia akan didirikan di kawasan seluas kira-kira 2.4 hektar di tanah kerajaan negeri.
Katanya, projek yang meliputi pembinaan dua menara itu turut melibatkan kediaman dan kawasan letak kereta yang akan bermula tahun depan.
“Projek setinggi 18 tingkat itu akan mengambil masa selama tiga tahun,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











