SHAH ALAM 24 Okt. – Penyokong diingatkan agar tidak membawa barang larangan seperti bahan letupan, senjata tajam, suar, batang besi, kayu, pemetik api, payung, botol air minuman dan dron apabila menonton final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib juga berkata, seramai 2,172 pegawai serta anggota polis akan ditempatkan di sekitar stadium bagi mengawal keselamatan dan memastikan kelancaran perlawanan antara Perak menentang Terengganu.
Katanya, pihak polis juga bakal dibantu 294 pasukan keselamatan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang akan ditempatkan di dalam stadium termasuk di sekitar padang.
“Anggota polis yang ditempatkan di stadium itu adalah daripada pelbagai bahagian seperti pasukan khas, Unit Anjing Pengesan (K9), unit berkuda dan unit dron.
“Selain itu, pemeriksaan beberapa peringkat juga dibuat di pintu masuk bagi memastikan tiada barangan terlarang dibawa ke dalam stadium dan pemeriksaan ini tidak terkecuali kepada peniaga serta petugas MFL,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd.
Bagi memastikan aliran trafik lancar dan mengelak kekecohan, laluan masuk dan keluar kedua-dua penyokong akan dipisahkan.
“Penyokong Perak masuk ke stadium melalui pintu A dan D manakala pintu B dan C untuk penyokong Terengganu.
“Begitu juga tempat meletak kenderaan di mana penyokong Perak di E1,E2, N1 dan N4 manakala penyokong Terengganu di W3, W2, hadapan stadium dan kawasan kedai di Seksyen 13,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Shazli menegaskan, tiada jualan tiket dibuat di stadium Shah Alam dan penyokong juga tidak dibenarkan duduk di laluan tangga stadium. – UTUSAN ONLINE











