KUALA LUMPUR – Polis memberi amaran kepada Persatuan Pemandu Teksi untuk tidak membuat sebarang demonstrasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam termasuk di sekitar ibu kota.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, gangguan yang orang awam terpaksa berdepan adalah kesesakan serta gangguan lalu lintas.
Katanya, tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka sekiranya demonstrasi masih dilakukan khususnya tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak polis.
“Perhimpunan secara aman boleh dilakukan tetapi jika bertindak di luar batasan seperti melanggar undang-undang tindakan tegas akan dikenakan.
“Mereka juga perlu menghantar surat makluman kepada pihak polis dalam tempoh sepuluh hari sebelum melakukan sebarang demonstrasi atau perhimpunan seperti tertakluk Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, perhimpunan masih boleh dilakukan tetapi dilakukan di tempat yang dibenarkan seperti di Padang Merbok untuk memastikan ia tidak menghalang lalu lintas.
Beliau berkata demikian pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi di pusat beli-belah Fahrenheit 88 dan Pavilion di sini hari ini. – K! ONLINE











