Shahrul mahu ikut jejak abang - Utusan Malaysia

Shahrul mahu ikut jejak abang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 24 Okt. – Abangnya antara tonggak ketika kali terakhir Perak menjulang Piala Malaysia 18 tahun lalu, dan apa yang menarik, kemenangan itu dilakar di Stadium Shah Alam iaitu gelanggang sama yang bakal menyaksikan Shahrul Saad menggalas tugas mengembalikan trofi berprestij tersebut kepada Bos Gaurus.

Menurut kapten Perak itu, adalah menjadi cita-citanya sejak dulu mahu mengikuti jejak abangnya, Shamsul Saad untuk memenangi Piala Malaysia buat negeri kelahiran mereka.

Tonggak pertahanan berusia 25 tahun tersebut menegaskan, dia akan melakukan yang terbaik bagi memastikan peluang keemasan yang diperoleh hujung minggu ini tidak akan disia-siakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara cita-cita saya ialah mengikut jejak abang memenangi Piala Malaysia.

“Apa yang abang saya buat, saya juga boleh lakukan selain mahu mengembalikan Piala Malaysia ke Perak,” katanya ketika ditemui dalam sesi latihan di Stadium Perak, hari ini.

Perak mengalahkan Negeri Sembilan 2-0 ketika kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2000. Skuad Bos Gaurus sebelum itu turut muncul juara pada 1998, 1970, 1967, 1957, 1931 dan 1926.

Shahrul bagaimanapun mengakui, cabaran yang bakal dihadapi tidak mudah, apatah lagi skuad Bos Gaurus memiliki rekod seimbang dengan Terengganu dalam dua aksi Liga Super musim ini.

Dalam perlawanan di Ipoh pada 6 Mei, Perak menang 3-2, namun anak-anak buah Mehmet Durakovic itu tewas 0-2 apabila bertandang ke Kuala Terengganu pada 22 Mei.

Katanya lagi, berdasarkan pengalaman menentang Terengganu, penyerang Ivory Coast, Tchetche Kipre antara pemain yang perlu dirantai.

“Kami harus menyekatkannya dari bawah lagi supaya dia tidak mendapat bola. Dia pemain yang sangat baik, boleh lakukan macam-macam di bahagian serangan, apa yang saya pasti saya harus fokus pada dia,

“Dia pemain yang baik, licik dan laju, jadi kami harus berwaspada terhadap pemain ini,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini