ADUN Pilah nafi letak jawatan - Utusan Malaysia

ADUN Pilah nafi letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 24 Okt. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu, 62, hari ini menafikan beliau merancang meletak jawatan akibat masalah kesihatan yang berpanjangan.

MOHAMAD NAZARUDDIN
MOHAMAD NAZARUDDIN

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri berkata, beliau telah menemui Menteri Besar, Aminuddin Harun yang menasihatkannya meneruskan rawatan sehingga pulih.

Bekas Timbalan Ketua PKR Cabang Kuala Pilah itu berkata, sejak mengalami masalah kesihatan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, beliau telah mendapatkan rawatan sama ada dari hospital dan perubatan tradisional.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tidak benar (saya akan letak jawatan),” katanya ringkas kepada para pemberita yang menemui beliau di pejabatnya di Wisma Negeri dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri beliau, Sarimah Zaizakrani dan Pegawai Khas, Aminuddin Mohamed Yunus.

Sementara itu, Sarimah berkata, pemeriksaan oleh doktor merumuskan suaminya itu menghadapi masalah tekanan.

“Kita boleh bercakap dengan dia dan beliau memahami apa yang diberitahu tetapi sering mengalami kesukaran menjawab semula apa yang dituturkan,” ujarnya.

Mohamad Nazaruddin tidak hadir selama tiga hari kerana bercuti sakit semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lalu.

Berikutan itu, timbul khabar angin bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai ADUN Pilah akibat masalah kesihatan dihadapinya.

Dalam PRU-14 lalu, Mohamad Nazaruddin memenangi kerusi DUN Pilah menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Norhayati Omar dan calon Pas, Ahmad Fadzil Othman dengan majoriti 1,806 undi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini