KUALA LUMPUR 24 Okt. – Tindakan kerajaan negeri Kelantan meminta kerajaan Persekutuan memulangkan kutipan cukai dan hasil negeri tidak sepatutnya disamakan dengan perbuatan meminta sedekah.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan Persekutuan perlu memberi lebih banyak peruntukan kepada kerajaan negeri bagi mewujudkan pembangunan dan prasarana, mencipta peluang pekerjaan serta pelaburan untuk dinikmati bersama.
“Ini kewajipan kerajaan Persekutuan, bukan makna kerajaan negeri minta sedekah kerana rakyat semua negeri bayar cukai kepada kerajaan (dan) hasil-hasil bumi diambil.
“Kerajaan Persekutuan kena kembalikan semula peruntukan negeri, (ia) adalah kewajipan bukan kita minta sedekah,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana mengeluarkan kenyataan akan memberikan semula royalti kepada kerajaan negeri.
“Kita harap juga kerenah birokrasi khusus oleh Kementerian Kewangan dapat diatasi supaya royalti Kelantan dan Terengganu tidak dilambat-lambatkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











