Tiada gegaran ekoran tanah rebak di Pos Raya - Utusan Malaysia

Tiada gegaran ekoran tanah rebak di Pos Raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 24 Okt. – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak menafikan berlakunya gegaran dalam kejadian tanah rebak di perkampungan Orang Asli Kampung Pawong di Pos Raya dekat Simpang Pulai semalam yang disebabkan oleh hujan lebat.

Timbalan Pengarahnya, Basharuddin Ismail berkata, pihaknya termasuk penduduk setempat serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang memantau insiden tersebut di sini, tidak merasai sebarang gegaran seperti ditularkan di laman sosial.

Namun katanya, satu kajian terperinci yang dijangka mengambil masa dua minggu, harus dilakukan bagi menentukan sama ada penempatan itu selamat diduduki kerana beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya lebih banyak rekahan tanah di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semalam, di satu kawasan, kita ukur rekahannya ialah 1.2 meter tetapi hari ini sudah 1.6 meter. Sebab-sebab berlakunya tanah rebak, kita perlu buat kajian di penempatan ini yang dibuka pada tahun 2008 dengan melihat kepada topografi asal untuk melihat bahagian mana yang ditambak atau dipotong.

“Faktor pencetus tanah rebak ini ialah hujan berpanjangan yang meresap ke dalam tanah dan sekali gus menjadikan ia lebih berat di kawasan cerun curam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Hadir sama Jurutera Daerah Kinta, Halizah Sipun dan Ketua Zon 1 Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Khairul Jamil.

Rebakan tanah sepanjang 50 meter dengan kedalaman 1.7 meter yang menjejaskan lima kediaman dan sebuah stor surau di kampung berkenaan, berlaku hanya 10 meter dari tebing Sungai Raia setinggi kira-kira 60 meter.

Ekoran kejadian itu, kesemua enam rumah sederet yang berhampiran dengan lokasi kejadian, turut diarah untuk dikosongkan, justeru menyebabkan 38 penduduk menumpang sementara di rumah saudara di kampung sama.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Perak dan Kedah, Hairulnizam Abd. Rahman berkata, pihaknya turut membantu dalam menyediakan bantuan makanan kepada mangsa terlibat. 

Tok Batin Kampung Pawong, Ismail Balah pula berkata, masyarakat Orang Asli di sini sedia berpindah ke tempat lain sekiranya penempatan mereka disahkan sebagai tidak lagi selamat untuk diduduki. 

Ketika ini, sebanyak 115 penduduk melibatkan 27 keluarga masyarakat Orang Asli dari kaum Semai, menduduki Kampung Pawong yang terletak kira-kira 14 kilometer dari Simpang Pulai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini