Warga emas OKU terkejut diarah bayar tunggakan RM57 juta - Utusan Malaysia

Warga emas OKU terkejut diarah bayar tunggakan RM57 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Lelaki warga emas orang kelainan upaya (OKU) di sini terkejut selepas menerima surat daripada syarikat guaman yang menuntut membayar tunggakan bil khidmat pembentungan sebanyak RM57 juta.

Mat Tahar Mat Yassim, 58, ketika ditemui berkata, surat bertarikh 11 Oktober itu diterima melalui serahan tangan ketika dia berada di rumahnya di Perkampungan Seri Mahkota Permai di sini pada seminggu lalu.

Berdasarkan surat tidak bertandatangan seperti diterima tersebut, syarikat guaman yang berpejabat di Kuala Lumpur itu menuntut Mat Tahar menjelaskan tunggakan sehingga 24 September lalu berjumlah RM57,734,378.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia tidak masuk akal. Saya dan isteri cuma tinggal di rumah kos sederhana rendah, bukannya tinggal di bangunan sebesar istana sehingga dikenakan caj tunggakan sebanyak berpuluh juta,” ujarnya.

Menurut bekas pemandu jengkaut itu, dia bersama isteri serta tiga anaknya tinggal di rumah tersebut sejak 2005 dan lazimnya menerima bil khidmat pembentungan sebanyak RM8 sebulan.

“Bil terakhir yang saya terima kira-kira sebulan lepas, ada tunggakan sebanyak RM500 lebih. Tiba-tiba terima surat tuntut bayaran tunggakan sehingga berpuluh juta.

“Daripada RM500 jadi RM57 juta dalam sekelip mata, ini sungguh pelik,” tambahnya yang mengalami masalah tulang dan sendi sejak lima tahun lalu.

Sehubungan itu, Mat Tahar yang ditemui di rumah ibunya di Inderapura di sini hari ini, berharap syarikat pembentungan berkenaan menyemak semula caj tunggakan seperti yang dituntut melalui firma guaman tersebut.

“Saya tidak mampu bergerak ke pejabat syarikat pembentungan itu untuk buat semakan, tapi saya harap mereka semak semula,” ujarnya yang memperoleh perbelanjaan bulanan menerusi bantuan daripada anak-anak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini