Jiran tetangga tempa nama, Malaysia masih leka jaja politik - Mahdzir - Utusan Malaysia

Jiran tetangga tempa nama, Malaysia masih leka jaja politik – Mahdzir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 24 Okt. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu berpada-pada dalam berpolitik sebaliknya memberi tumpuan kepada agenda pembangunan menuju negara maju dengan meneruskan kesinambungan prinsip tadbir urus yang baik kerajaan terdahulu demi masa depan negara dan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan PH sewajarnya tidak membawa negara menuju arah mundur ke belakang walaupun tidak mampu mengotakan janji agar kebajikan rakyat dan pembangunan negara tidak diabaikan.

Katanya, tidak seperti Malaysia ketika ini negara-negara jiran menunjukkan perkembangan positif dalam agenda ekonomi masing-masing.

“Kelmarin, syarikat ternama United Kingdom, Dyson mengumumkan memilih Singapura sebagai lokasi pelaburan terbaharunya bernilai hampir RM12 bilion untuk membina kilang kereta kuasa elektrik, sekali gus mengenepikan peluang Malaysia sebagai hab pelaburan strategik syarikat tersebut.

“Malah syarikat kereta nasional pertama Vietnam, Vinfast, mencuri tumpuan dunia pada awal bulan ini dengan melancarkan model terbarunya di Paris Motor Show dalam sebuah majlis gilang-gemilang menjulang “semangat orang Vietnam” di Eropah, sekali gus menempa nama di pentas industri automotif dunia.

“Namun begitu, kemakmuran potensi pertumbuhan ekonomi itu tidak pula dinikmati Malaysia yang dilihat masih bergelumang dengan situasi politik yang seperti tiada kesudahan serta perubahan keputusan pelbagai projek berimpak tinggi termasuk memansuhkan banyak dasar dan projek mesra rakyat yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu,” katanya di sini hari ini.

Jelas beliau, perkembangan positif negara-negara jiran termasuk Indonesia dan Thailand menjelaskan keyakinan tinggi para pelabur terhadap hala tuju dasar kerajaan, kestabilan politik dan merangsang pertumbuhan ekonomi di negara berkenaan di sebalik ketidaktentuan turun naik ekonomi dunia dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini.

“Bagi memastikan kebajikan hidup jutaan rakyatnya tidak lagi terus bergelap, Indonesia baru-baru ini memilih untuk menjalin usaha sama pelaburan dengan syarikat perusahaan milik pemerintah China SOE Sinohydro membina empangan hidroelektrik bernilai RM6.6 bilion di Pulau Sumatera dan rela berkorban risiko ancaman habitat orang utan Tapanuli.

“Kabinet Thailand yang bertindak pantas dan bijak meluluskan peruntukan mencecah RM30 bilion untuk membina landasan keretapi berkelajuan tinggi yang menghubungkan dua lapangan terbang di Bangkok dan Rayong dijangka memberi manfaat ekonomi yang tinggi dan kemakmuran kepada rakyat negara Gajah Putih itu,” kata Ahli Parlimen Padang Terap itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×