KOTA TINGGI 24 Okt. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan dua buah kapal yang gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh dan disyaki melakukan aktiviti pemindahan dari kapal ke kapal (STS) di perairan Penawar, di sini semalam.
Maritim Malaysia dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, penahanan kapal jenis tanker dan kargo itu dibuat selepas Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili menerima satu aduan awam berkaitan aktiviti STS tanpa kebenaran kira-kira pukul 4 petang.
“Kedua-dua kapal tersebut dikesan kira-kira pukul 5 petang oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika bersauh pada kedudukan lebih kurang 4.5 batu nautika timur laut Tanjung Punggai, Kota Tinggi.
“Hasil siasatan awal disyaki kedua-dua kapal tersebut sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak secara STS di luar Had Pelabuhan Pasir Gudang,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, ketika ditahan, sebuah kapal tersebut yang berdaftar di Indonesia membawa bersama-sama 19 kru warga Indonesia dan sebuah lagi kapal berdaftar di negara ini membawa 10 kru warga Indonesia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 49 1B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu melakukan STS tanpa kebenaran Pengarah Laut dan Seksyen 49 1B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut. – UTUSAN ONLINE











