Kerajaan Persekutuan pinjamkan RM22.5 juta kepada Kelantan tahun ini - Utusan Malaysia

Kerajaan Persekutuan pinjamkan RM22.5 juta kepada Kelantan tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan telah memberi pinjaman sebanyak RM22.5 juta kepada kerajaan negeri Kelantan tahun ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya pemberian pinjaman yang dipohon pada Jun lepas adalah untuk membolehkan kerajaan negeri membayar gaji kakitangannya.

“Pada asalnya mereka memohon pinjaman bagi pengurusan termasuk pembayaran gaji sebanyak RM24.5 juta tetapi Kerajaan Persekutuan hanya luluskan RM22.5 juta kerana kita hendak beri cepat (beri pinjaman) supaya gaji kakitangan mereka dapat dibayar,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berikutan itu Lim melahirkan kekesalannya atas dakwaan beberapa pemimpin PAS Kelantan yang menyatakan beliau anti-Melayu dan anti-Islam.

“Sampai hati mereka kata saya anti-Melayu dan anti-Islam. Bila saya sebut fakta dan angka dan Kerajaan Persekutan telah menghulurkan bantuan kenapa pula timbul soal agama dan kaum?,” katanya.

Guan Eng dalam satu kenyataan semalam berkata, pada tahun 2016, Kelantan memang telah menerima RM398 juta, secara keseluruhan, sebagai pemberian daripada Kerajaan Persekutuan seperti yang diterima negeri-negeri lain dalam Malaysia.

Turut termasuk dalam pemberian RM398 juta itu  ialah pemberian defisit sebanyak RM59.9 juta kerana hasil kerajaan negeri Kelantan tidak mencukupi untuk membayar perbelanjaannya, termasuk gaji dan emolumen.

Kerajaan Persekutuan juga telah meminjamkan RM100 juta dana tambahan sebagai pinjaman pendahuluan untuk menampung perbelanjaan kerajaan negeri.

Sehingga 31 Disember 2017, kerajaan negeri Kelantan masih belum membayar balik pinjaman pendahuluan sebanyak RM388 juta, yang menjadikan kerajaan negeri itu sebagai penghutang terbesar pinjaman pendahuluan ini, kata Lim. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini