IPOH 24 Okt. – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditemukan mati dengan kesan tembakan di kepala di tepi kuaters di Balai Polis Pekan Baru di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Hussain berkata, mayat anggota polis berusia 29 tahun itu dijumpai pada kira-kira pukul 6.15 pagi tadi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesan tembakan di kepala anggota polis berkenaan daripada senjata miliknya.
“Anggota polis berkenaan baru dua hari melapor diri di Balai Polis Pekan Baru dan sebelum ini bertugas dalam pasukan petugas khas Jabatan Siasatan Jenayah serta Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7).
“Kita sedang menyiasat beberapa perkara terutamanya kelongsong peluru yang ditemui di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Pekan Baru di sini hari ini.
Menurut Razarudin, siasatan sedang dijalankan dan masih terlalu awal untuk mengatakan mangsa membunuh diri atau dibunuh.
Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk dibedah siasat. – UTUSAN ONLINE











