KUALA LUMPUR 24 Okt. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berhasrat memanggil bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk merakamkan percakapan susulan kenyataannya yang secara peribadi mahu membantu mencari ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low bagi menyelesaikan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
etua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, bagaimanapun, pihaknya mengalu-alukan dan tidak menghalang Hishammuddin yang mahu membantu mencari Jho Low yang masih tidak ditemukan sehingga kini.
“Saya tidak dapat memberi komen tentang hasrat Hishammuddin. Mungkin ini adalah berdasarkan sumber beliau yang sedia.
“PDRM sudah pun melakukan semua prosedur yang ada termasuk berhubung dengan pihak berkuasa negara-negara yang dikaitkan Jho Low berada pada setiap masa dan saya sendiri sudah berjumpa secara bersemuka sendiri dengan Interpol. Namun pada masa ini, kita masih tidak ada petunjuk,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman di Bukit Aman.
Isnin lalu, Ahli Parlimen Sembrong itu memberitahu, akan membantu mencari Jho Low bagi menyelesaikan isu berkaitan 1MDB.
Beliau dikatakan akan menggunakan hubungannya sebelum ini dengan pemimpin-pemimpin China untuk mencari Jho Low sekali gus membawanya pulang bagi berdepan muka pengadilan. – UTUSAN ONLINE











