BINTULU – Seorang suri rumah kerugian RM40,000 selepas terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam sejak 8 Oktober hingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa yang berusia 43 tahun mula ditipu pada 8 Oktober lalu selepas berkenalan di Facebook dengan seorang lelaki bernama Omar Ahmad dari United Kingdom.
Menurutnya, selepas mereka berbalas pesanan di Facebook, lelaki itu mahu mengirimkan hadiah sebagai tanda perkenalan mereka.
“Mangsa kemudian menerima panggilan seminggu kemudian daripada seorang perempuan yang memberitahu mangsa menerima bungkusan dan perlu membayar RM4,500 untuk penghantaran hadiah itu ke Bintulu.
“Mangsa kemudiannya perlu membayar RM18,500 ke akaun CIMB suspek selepas suspek memaklumkan bungkusan itu mengandungi wang sebanyak 25,000 pound dan perlu dibawa ke Bank Negara untuk pertukaran,” katanya tadi.
Menurutnya, mangsa membuat sekali lagi pembayaran sebanyak RM17,000 ke atas akaun Maybank untuk proses pertukaran itu.
Katanya, mangsa membayar sebanyak RM5030 pada 20 Oktober untuk menutup kes dengan pihak polis supaya tidak disiasat.
“Semalam, suspek meminta wang tambahan sebanyak RM5,000 tetapi mangsa memaklumkan tidak mempunyai duit sebanyak itu,” ujarnya.
Jelasnya, mangsa bagaimanapun tersedar bahawa dia ditipu dan tampil ke balai polis untuk membuat laporan. – K! ONLINE











