SHAH ALAM – Nasib seorang bekas pegawai pendakwah kontrak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang didakwa menyalahgunakan kuasa dalam pemberian projek pembekalan kepada syarikat milik abang kandungnya bernilai RM10,000, dua tahun lalu akan diketahui pada 31 Oktober depan di Mahkamah Seksyen di sini.
Hakim Rozilah Salleh memutuskan demikian setelah meneliti semua hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan terhadap tertuduh, Hairul Nizan Mhd. Ideris, 37.
“Sepatutnya keputusan ditetapkan hari ini namun mahkamah sudah meneliti hujahan kedua-duanya pihak dan mendapati ada pembetulan harus dilakukan bagi kedua-duanya pihak.
“Justeru, kedua-duanya pihak harus menyerahkan semua hujahan terbabit pada Jumaat ini sebelum keputusan ditetapkan pada 31 Oktober ini,” katanya dalam penghakiman tersebut.
Pada 4 Ogos tahun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai pendakwah gred (S41) telah menggunakan jawatannya bagi mengemukakan permohonan dan syor bagi pembekalan syarikat Prisma Jaya Kini Resources yang dimiliki abangnya untuk Majlis Tilawah Al-Quran peringkat daerah Hulu Langat berjumlah RM10,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di PAID daerah Hulu Langat pada 1 Februari 2016.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Tertuduh yang telah mendirikan rumah tangga itu mempunyai tiga orang anak berusia dua hingga 11 tahun.
Dia memulakan kerjaya di JAIS sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam secara kontrak di PAID Hulu Langat sebelum menjadi pegawai pendakwah kontrak di PAID yang sama.
Kontrak perkhidmatannya sebagai pegawai pendakwah telah berakhir pada 25 September tahun lalu.
Selain itu, syarikat milik abang tertuduh itu terletak di Seksyen 23, Shah Alam di sini.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohammed Heikal Ismail telah mengemukakan 22 saksi pendakwaan sepanjang proses perbicaraan bermula November tahun lalu.
Sementara, tertuduh diwakili Peguam Hamidi Mohd Noh telah mengemukakan empat saksi pembelaan sebelum ini. – K! ONLINE











