Melalui pengalaman pahit apabila putus tunang Februari lalu tidak menghalang pelakon Elfira Loy untuk terus mengejar bahagia.
Berbekalkan keikhlasan hati dalam mencari kebahagiaan diri, gadis berusia 24 tahun berjaya menemuinya.
Kini, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri sekali lagi bergelar tunangan orang. Meskipun tempoh perkenalan antara dia dan tunang, Muhammad Faris Khairol Anuar dikatakan singkat, namun Elfira positif dengan takdir dirinya.
Menurut Elfira, pintu hatinya mudah terbuka menerima Faris kerana yakin takdir yang diperoleh berkat doa yang sentiasa dipanjatkan sepanjang tempoh putus tunang yang lalu.
“Saya rasa yang membuka pintu hati saya untuk menerima semua ini adalah disebabkan sepanjang tempoh putus tunang sebelum ini, saya banyak berdoa dan sedia berserah kepada takdir.
“Saya tidak meletakkan sebarang ciri untuk saya sukakannya, sebaliknya saya nampak kehadiran dia dalam hidup saya begitu dipermudah.
“Doa saya, jika benar dia untuk saya, maka dia akan mendekat dengan cara yang mudah. Mungkin doa saya selama ini dimakbulkan, sebab itulah munculnya dia dalam hidup saya dalam tempoh yang singkat selepas saya putus tunang,” jelas Elfira.

Elfira dan Faris mengikat tali pertunangan dalam majlis tertutup pada awal September lalu. Namun berita tersebut tersebar dua jam selepas majlis berlangsung.
Sementara itu, ditanya mengenai majlis pertunangan yang dilangsungkan secara rahsia, pelakon drama Cik Paris Diva Kampung ini menjelaskan bahawa perkara itu adalah atas permintaan keluarga.
Pada masa sama, Elfira menafikan bahawa pengalaman lalu yang membuatkan dia memilih untuk berahsia, sebaliknya Elfira berkata, majlis tersebut juga dibuat secara kecil-kecilan kerana jumlah tetamu jemputan yang tidak ramai.
“Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang saya buat pada masa lalu. Perkara tersebut saya lakukan dengan seikhlas-ikhlasnya jadi tidak mungkin itu menjadi satu kekesalan.
“Dahulu, saya memilih untuk menghebahkan pertunangan dengan niat untuk keselesaan orang sekeliling. Saya jemput ramai wartawan kerana saya ingin berkongsi rasa gembira.
“Pertama kali bertunang, saya sangat teruja menjemput ramai tetamu. Tidak mungkin untuk saya mengadakan majlis yang kecil sedangkan tetamunya ramai.
“Jadi kali ini kami memilih untuk mengadakan majlis kecil-kecilan sesuai dengan jumlah tetamu, bukan kerana menyesal dengan kisah lalu,” jelasnya.
Ingin jemput media
Ditanya mengenai majlis pernikahan yang dikatakan bakal berlangsung pada tahun hadapan, Elfira mengakui, merancang untuk menjemput para media hadir membuat liputan.
Namun katanya, perkara tersebut belum lagi dibincangkan dengan kedua-dua belah keluarga.
Bagi Elfira, sebelum mendapat kata sepakat daripada keluarga mereka, dia tidak mampu memberikan sebarang janji.
“Sebenarnya perkara tersebut belum dibincangkan lagi oleh keluarga kami. Saya juga terlebih dahulu perlu bertanyakan soal ini kepada keluarga tunang.
“Mereka tidak biasa dengan kehidupan selebriti, jadi saya perlu ambil berat mengenai situasi tersebut.
“Kalau boleh saya memang mahu menjemput rakan media meraikan hari bahagia saya nanti, insya-Allah,” jelasnya.
Bercerita tentang perjalanan karier seni selepas berkahwin nanti, Elfira berkata, bakal suaminya tidak mempunyai masalah untuknya meneruskan minat.
“Dia okey sahaja dalam soal ini. Lagipun dia memang mengenali saya sebagai Elfira Loy, seorang pelakon. Jadi dia menerima saya seadanya.
“Sehingga ke hari ini, dia sentiasa memberikan sokongan terhadap kerjaya saya,” akhirinya.











