Keistimewaan 'Seri Mahkota' - Utusan Malaysia

Keistimewaan ‘Seri Mahkota’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SULTAN Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mengenakan tengkolok gubahan baharu yang digelar sebagai ‘Seri Mahkota’ pada hari pertabalan baginda sebagai Sultan Kedah yang ke-29 di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

‘Seri Mahkota’ adalah tengkolok yang diolah khusus daripada gaya rupa bentuk tengkolok lama almarhum ayahanda baginda, Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-27.

Penyolek tengkolok, Mohd. Zairul Fairuz Zakaria, 40, anak jati Kedah dari Titi Haji Idris, Pendang, mengakui bahawa tugasan menyiapkan tengkolok yang merupakan pelengkap kepada persalinan diraja itu bukan tugas mudah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau yang mempunyai kira-kira 12 tahun pengalaman dalam seni mengikat atau menyolek tengkolok berkata, penting untuk menghasilkan tengkolok yang bukan sahaja bersesuaian dengan bentuk muka malah perwatakan serta peribadi si pemakai.

“Seri Mahkota adalah olahan daripada tengkolok lama Sultan Kedah (Almarhum Sultan Badlishah) disolek sesuai dengan bentuk wajah Tuanku Sultan Kedah agar tampil lebih kemas dan segak,” katanya.

Mohd Zairul juga pernah menghasilkan destar ‘Dendam Tak Sudah’ untuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Berkongsi maklumat, beliau menjelaskan bahawa destar ‘Dendam Tak Sudah’ berasal dari Negeri Sembilan dan dipakai oleh beberapa sultan Tanah Melayu sebagai mahkota raja, selain sultan yang menjadi Yang di-Pertuan Agong. Malah destar ‘Dendam Tak Sudah’ juga pernah dipakai oleh Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah sewaktu baginda ditabal 59 tahun lalu sebagai Sultan Kedah ke-28.

Menyambung kisah menyolek tengkolok ‘Seri Mahkota’, Mohd Zairul yang menetap di Kuala Lumpur berkata, beliau menghabiskan masa selama lima hari di Gunung Jerai di Yan, Kedah untuk mencari ilham.

“Sambil mencari ilham, saya sentiasa berdoa kepada Allah agar semuanya lancar. Lima hari tinggal di gunung yang tenang dan harmoni, saya berjaya menyiapkan tengkolok itu dengan penuh tertib,” jelas pemilik syarikat Kazanah Warisan Al Fairuzi itu.

Menjelaskan mengenai perbezaan dalam menghasilkan tengkolok untuk Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Kedah, Mohd Zairul berkata, pembuatan tengkolok bagi Yang di-Pertuan Agong lebih mudah kerana destar ‘Dendam Tak Sudah’ diwarisi daripada pemakaian Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama sehingga Sultan Muhammad V.

Beliau mengambil masa selama lapan jam untuk menyiapkan destar berkenaan dan disiapkan sepenuhnya di bawah pemerhatian pegawai bertanggungjawab di Istana Negara. Berbeza dengan tengkolok ‘Seri Mahkota’ yang baharu dan tidak pernah disolek mahupun dilihat oleh sesiapa sebelum ini, justeru mengambil masa agak lama dan memerlukan penelitian serta kesabaran yang tinggi.

Bagaimanapun, beliau berbangga diberi peluang menyolek tengkolok itu kerana,”tidak semua orang mendapat peluang seperti ini, lebih-lebih lagi apabila dapat berbakti untuk Sultan Kedah,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini