Atlet Perak, Pahang positif ujian doping - Utusan Malaysia

Atlet Perak, Pahang positif ujian doping

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLET angkat berat Pahang dan atlet judo Perak yang bertan­ding pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak baru-baru ini disahkan positif ujian Antidoping.

Perkara itu diumumkan Pengarah Agensi Antido­ping Malaysia (Adamas), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz pada satu sidang akhbar di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya semalam.

Ramlan berkata, ini kali kedua atlet dari Pahang berumur 21 tahun itu didapati positif menggunakan bahan terlarang selepas gagal dalam ujian do­ping pada 2016, manakala kesalahan dilakukan atlet judo Perak yang juga berumur 21 tahun adalah kali pertama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ini atlet (Pahang) tersebut pernah positif menggunakan ste­roid anabolik dan kali ini hasil ujian makmal mendapati sampel-sampel beliau dikesan mengandungi dua bahan, methylhexaneamine dan dimenthybutylamine.

“Sampel atlet judo dari Perak itu pula dikesan mengandungi bahan terlarang jenis triamcinolone acetonide,” katanya.

Sebelum ini, dua atlet angkat berat Terengganu disahkan gagal ujian do­ping selepas sampel yang diambil dikesan mengan­dungi bahan terlarang jenis methylhexaneamine.

Sementara itu, Ramlan berkata, daripada 992 ujian doping yang dijalankan sepanjang tahun ini, 13 sampel didapati positif ujian doping.

Daripada jumlah tersebut, lapan melibatkan sukan angkat berat, manakala satu kes, masing-masing melibatkan bola sepak, olahraga, renang, bina badan dan judo.

Ramlan menyifatkan 13 kes itu satu perkara membimbangkan apabila ia menunjukkan peningkatan 0.5 peratus daripada 0.8 peratus yang dicatat pada 2017, setelah hanya lima daripada 612 sampel dikesan mengandungi bahan terlarang. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini