KUALA LUMPUR – Securemetric Bhd. (Securemetric), penyedia solusi keselamatan digital, menyasarkan untuk menjana sebanyak RM17 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) bagi membiayai pertumbuhan dan pengukuhan perniagaan masa hadapan.
Syarikat yang bakal disenaraikan di pasaran ACE Bursa Malaysia pada 13 November ini dengan harga IPO 25 sen sesaham itu memiliki modal pasaran bernilai RM60.9 juta.
IPO berkenaan melibatkan sejumlah 68 juta saham biasa yang merangkumi 17 juta saham kepada pelabur awam, penempatan swasta kepada pelabur terpilih (48 juta) dan 3 juta saham untuk kakitangan yang layak.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Edward Law berkata, daripada jumlah yang diraih itu, RM5.7 juta bagi pembangunan penyelesaian keselamatan digital baharu, modal kerja (RM5.2 juta), perkembangan perniagaan (RM1.7 juta), pembayaran pinjaman (RM1.9 juta) dan RM2.5 juta bagi perbelanjaan IPO.
Menurut beliau, syarikat itu berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peningkatan kesedaran serta tumpuan oleh kerajaan mahupun korporat dalam memastikan keselamatan data, maklumat dan aset.
“Kami yakin dengan potensi pertumbuhan penyediaan solusi keselamatan digital di Asia Tenggara, khususnya dalam sektor kerajaan dan kewangan.
“Dengan penerimaan yang semakin meningkat terhadap teknologi oleh perniagaan dan sektor awam, penyelesaian keselamatan digital yang dipertingkatkan menjadi keutamaan dalam usaha menghindar daripada ketirisan data dan kerugian ekoran serangan siber,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena majlis pelancaran prospektus penyenaraian Pasaran ACE Securemetric di Hotel Aloft di sini baru-baru ini.
Securemetric dan subsidiarinya menawarkan produk dan penyelesaian keselamatan digital merentasi Asia Tenggara, khususnya Malaysia, Vietnam, Filipina, Indonesia dan Singapura.
Pelanggannya terdiri daripada pelbagai industri termasuk organisasi kerajaan, institusi kewangan, pihak berkuasa pensijilan awam, syarikat pembangunan perisian dan penyedia perkhidmatan teknologi maklumat.











