Perubahan iklim ancam ‘Viagra Himalaya’ - Utusan Malaysia

Perubahan iklim ancam ‘Viagra Himalaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Sejenis kulat ulat beluncas yang lebih berharga daripada emas dan diberi jolokan ‘Viagra Himalaya’ di Asia, kini semakin sukar diperoleh akibat perubahan iklim, kata sepasukan penyelidik kelmarin.

Sejak beberapa tahun lalu, penduduk di China dan Nepal pernah berbunuhan dalam usaha merebut kulat itu yang dikenali sebagai yarchagumba atau nama rasminya, Ophiocordyceps sinensis.

Kulat berbentuk kon itu hanya ditemui pada ketinggian melebihi 3,000 meter dan terbentuk apabila tumbuhan parasit itu tumbuh pada badan ulat beluncas dan membunuh perumahnya secara perlahan-lahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penduduk tempatan merebus kulat yarchagumba di dalam air untuk membuat air teh dan stu. Orang ramai percaya kulat itu dapat menyembuhkan pelbagai masalah kesihatan daripada mati pucuk hinggalah kepada penyakit kanser.

Kulat yarchagumba merupakan antara komoditi paling berharga di dunia dan menjadi sumber pendapatan kepada ratusan ribu pencarinya, kata kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal The Proceedings of the National Academy of Sciences.

Harganya melambung tinggi sejak beberapa dekad lalu dan dijual pada harga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding harga emas di Beijing.

Walaupun ramai orang mengesyaki kemerosotan kulat itu berpunca daripada penuaian berlebihan, penyelidik-penyelidik mendapati faktor lain turut memainkan peranan.

Dalam kajian mereka, pasukan saintis berkenaan menemu bual kira-kira 50 pencari, pengumpul dan peniaga kulat itu serta mengkaji penyelidikan sebelum ini selain mewawancara lebih 800 orang di Nepal, Bhutan, India serta China untuk mencari jawapan kepada soalan tersebut.

“Walaupun orang ramai mula me­ngurangkan penuaian kulat itu, pengeluaran akan terus berkurangan berikutan fenomena perubahan iklim global yang berlaku,” kata penyelidik utama kajian tersebut, Kelly Hopping dari Universiti Boise State di Idaho, Amerika Syarikat. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini