ALOR SETAR 23 Okt. – Penganjuran Aloq Staq Colour Run oleh Kolej Poly-Tech Mara Alor Setar (KPTMAS) mencapai objektifnya apabila berjaya menggalakkan gaya hidup sihat dan meningkatkan semangat nasiolisme dalam kalangan peserta serta pelajar.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Nordin Ahmad berkata, program yang digerakkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dikenali sebagai Galvanised Squad itu mendapat kerjasama pintar daripada beberapa agensi kerajaan dan swasta.
Katanya, program yang menekankan nilai perpaduan dan nasionalisme menerusi aktiviti kesukanan itu dapat mendedahan kepada pelajar mengenai kemahiran berkomunikasi, menyelesaikan masalah selain menguji ketahanan mental dan fizikal mereka.
“Program ini adalah bukti komitmen anak-anak muda dalam merencanakan dan menaikkan semangat nasionalisme untuk mencintai negara dalam program positif dan pada masa sama, menggalakkan gaya hidup sihat bersama penduduk setempat.
“Sukan boleh menjadi faktor perpaduan dalam negara kerana ia menggalakkan orang ramai melupakan perbezaan atau prasangka sesama sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut di sini baru-baru ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan dan Keusahawan, Asmirul Anuar Aris.
Turut hadir Pengarah Mara negeri, Yahaya Sani dan Pengarah KPTMAS, Anuar Zakaria.
Dalam pada itu, Nordin berkata, program tersebut juga bukan sahaja dapat membentuk keperibadian yang mulia dalam kalangan pelajar malah menjadi aset negara yang tidak ternilai harganya.
“Jika hendak melihat masa depan sebuah negara, lihatlah pada generasi mudanya pada hari ini. Sampai masa dan saatnya, golongan inilah yang bakal menerajui negara,” katanya.











