JOHOR BAHRU 23 Okt. – Sokongan keluarga khususnya suami memainkan peranan penting bagi memastikan proses kelahiran bayi selamat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, wanita mengandung dan akan melalui proses kelahiran bukan sahaja perlu mendapat sokongan moral, malah lebih penting suami mengambil inisiatif untuk menghantar mereka ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.
“Perlu diingatkan wanita adalah tulang belakang keluarga. Jadi, dalam proses kelahiran, kita perlu memastikan mereka menjalani proses tersebut dengan selamat.
“Banyak unsur yang menyumbang terhadap kelahiran tidak selamat seperti kurangnya kesedaran ibu tentang proses tersebut. Apa yang ibu patut buat atau tidak dan contohnya suami tidak mahu menghantar isteri untuk bersalin di hospital dan keupayaan untuk pergi ke klinik dan sebagainya,” kata Cai Tung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya semasa merasmikan Seminar Kelahiran Selamat daripada Perspektif Kesihatan dan Maqasid Syariah di Hospital Sultan Ismail di sini semalam.
Menurutnya, selain itu faktor yang menyumbang kelahiran tidak selamat adalah ibu tersebut lebih percaya terhadap sumber yang tidak betul termasuk daripada orang berpengetahuan tinggi yang mendapat maklumat dari luar negara, tetapi tidak serasi dengan persekitaran dan perkhidmatan sedia ada.
Pada masa kini perkhidmatan penjagaan ibu bersalin boleh didapati di mana-mana hospital kerajaan atau swasta dan terserah kepada mereka untuk memilih yang terbaik, katanya.
Beliau berharap peserta seminar tersebut dapat memahami dan mengetahui kepentingan kelahiran selamat, mengenal pasti faktor risiko dan komplikasi serta memahami konsep maqasid syariah berdasarkan perubatan moden.











