SEREMBAN 23 OKT. – Pertambahan jumlah kenderaan dan bilangan petak meletak kereta yang tidak seimbang telah menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di bandar ini sejak beberapa tahun lalu.
Lebih memburukkan keadaan apabila terdapat segelintir pemandu yang mementingkan diri meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan dan secara berlapis.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi termasuk di Jalan Tuanku Antah dan Jalan Dato Lee Fong Yee baru-baru ini mendapati kesesakan teruk berlaku terutama pada waktu puncak antara pukul 1 hingga 2 petang.
Berdasarkan pemerhatian, pemandu dengan selamba meletakkan kenderaan mereka di kawasan larangan untuk berurusan di bangunan berhampiran yang menempatkan beberapa institusi perbankan.
Situasi sama turut berlaku di Jalan Tunku Hassan, Jalan Dato Abdul Rahman dan Jalan Yam Tuan.
Pemandu didapati meninggalkan kenderaan mereka dalam tempoh antara 10 hingga 30 minit sekali gus menyebabkan aliran trafik di kawasan itu terjejas dan jalan yang mempunyai empat lorong bertukar menjadi dua lorong.
Utusan Malaysia difahamkan, masalah kekurangan petak parkir dan ketiadaan sebarang penambahan kemudahan itu di bandar ini antara alasan yang diberikan pemandu kenderaan bertindak demikian.
Berdasarkan statistik pada 2015, penduduk daerah Seremban berjumlah 620,000 orang berbanding 582,000 pada 2012 dan kira-kira 20,000 pada 1916.
Dalam tempoh itu, semakin banyak kenderaan baharu te-lah didaftarkan saban tahun. Sejak Januari lalu hingga akhir bulan lalu, sebanyak 1,407 kereta baharu telah didaftar di negeri ini.











