24 organisasi terima anugerah EMGS - Utusan Malaysia

24 organisasi terima anugerah EMGS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Sebanyak 24 organisasi menerima anugerah Energy Management Gold Stan­dard (EMGS) pada Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa (IGEM) 2018, yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Enam daripada organisasi berkenaan diberi penarafan dua bintang dan 18 lagi bagi penarafan satu bintang.

Anugerah itu diberikan di bawah Skim Pengurusan Tenaga ASEAN (AEMAS) kepada pengguna yang telah berjaya melaksanakan sistem pengurusan tenaga lestari mengikut keperluan skim.

Memuatkan artikel berkaitan…

EMGS adalah program pe­ng­iktirafan serantau dengan matlamat mengurus dan me­ngurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon dioksida di rantau ASEAN.

Organisasi yang diperakui dengan penarafan dua bintang dijangka mencapai minimum lima peratus pengurangan tenaga setiap tahun.

GreenTech Malaysia yang dilantik oleh Pusat Tenaga ASEAN (ACE) sebagai penyelaras dan badan pensijilan negara, berperanan untuk mempromosi, memudahkan dan memproses permohonan yang dibuat oleh pengguna akhir daripada industri atau bangunan komersial di Malaysia.

Penjimatan tenaga yang dicapai di bawah program EMGS adalah sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 45 peratus menjelang 2030 berbanding tahap 2005.

Kementerian Kesihatan ko­mited bagi program EMGS dan telah memainkan peranan pen­ting dalam memaparkan inisiatif kerajaan dalam pengura­ngan tenaga dan perubahan iklim.
Daripada 182 penilaian yang dise­lesaikan di bawah EMGS sejak 2011, 90 peratus telah dilakukan di hospital kerajaan.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis merasmikan majlis anugerah itu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Greentech Malaysia Dr. Mohd Azman Zainul Abidin.

GreenTech Malaysia telah mengesahkan kira-kira 140 organisasi sejak 2011, dan kini terdapat lebih 1,300 pengurus tenaga perakui di negara ini.

Sehingga kini, AEMAS telah mengurangkan penggunaan tenaga kira-kira 46.5 juta kWh setiap tahun untuk pelaksana di Malaysia, menjimatkan lebih RM19.4 juta dan mengurangkan 32,000 tan pelepasan CO2 setiap tahun. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini