SAUDARA PENGARANG,
Sahabat Alam Malaysia (SAM) memandang serius dan menggesa kerajaan Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang serta Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Tengah untuk turun padang dan menyiasat satu kegiatan penerokaan hutan bakau yang berlaku di Juru, Bukit Tengah. Lokasi tersebut adalah melalui jalan ban bermula dari jeti nelayan Sungai Belanak menghala ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Juru.
Dalam satu tinjauan ke jalan ban di Juru, Bukit Tengah baru-baru ini kami dikejutkan dengan penemuan sebuah jentera sedang melakukan aktiviti membersih hutan bakau serta meratakan tanah lumpur sambil diperhatikan oleh beberapa individu di situ. Kami turut menemui beberapa orang yang melalui jalan ban ini dan menyatakan bahawa mereka tidak mengetahui tentang projek yang akan dilaksanakan.
Ada yang menyatakan berkemungkinan projek ini adalah untuk membangunkan kolam ternakan akuakultur.
Kami merasa hairan bagaimana hutan bakau di kawasan ini boleh diteroka dengan sesuka hati sedangkan keluasan hutan bakau ini tidaklah seluas mana malah yang masih berbaki di kawasan ini hanya tinggal sedikit sahaja.
Persoalannya ialah siapa yang memusnahkan hutan bakau tersebut dan apakah projek yang akan dijalankan di kawasan ini? Adakah ia untuk pembangunan projek akuakultur? Walau apapun kami di SAM kesal dengan isu penerokaan hutan bakau ini kerana semua pihak tahu tentang kepentingan dan manfaat hutan paya bakau kepada pesisir pantai.
Sehubungan itu kami ingin mengetahui status hutan bakau yang diteroka di sini dan tujuan sebenar kegiatan ini sama ada ia telah mendapat kelulusan daripada kerajaan atau sebaliknya. Kami juga mendapati tiada sebarang papan tanda atau notis pemberitahuan tentang bentuk projek yang akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.
S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden SAM











