JOHOR BAHRU 23 Okt. – Tindakan dua rakan yang cuba meleraikan pergaduhaan antara empat lelaki tempatan dengan tiga lelaki warga Indonesia di sebuah restoran di Jalan Abdullah Tahir, di sini berakhir dengan tragedi apabila mereka menjadi sasaran kumpulan tersebut.
Dalam kejadian pukul 5 pagi semalam itu, mangsa yang berumur 48 tahun dan rakannya yang hanya dikenali sebagai Faizal cedera di bahagian muka dan badan termasuk seorang daripadanya cedera di rusuk serta patah sebatang gigi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian itu tercetus selepas kumpulan lelaki tempatan itu tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa dan rakannya yang meleraikan pergaduhan mereka dengan tiga warga Indonesia terbabit.
“Empat lelaki tempatan yang tidak berpuas hati telah mengajak mangsa untuk berjumpa semula di restoran berlainan. Kedua-dua mangsa yang sememangnya hendak menuju restoran itu didatangi kira-kira 15 lelaki tempatan menaiki empat kereta dan beberapa buah motosikal.
“Seramai 10 daripada 15 lelaki terbabit bertindak memukul kedua-dua mangsa menggunakan kerusi di restoran berkenaan selain melarikan wang tunai RM3,500 dan sebuah telefon bimbit milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahurinain berkata, mangsa lewat membuat laporan kerana pulang dahulu ke rumah sebelum datang ke Balai Polis Johor Bahru Sentral pukul 3.50 petang semalam.
Walau bagaimanapun, mangsa kemudiannya menarik semula laporan itu pada pukul 12.10 tengah malam tadi kerana tidak mahu meneruskan kes itu.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh walaupun mangsa sudah bertindak menarik semula laporan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











