KUALA LUMPUR – Isu kehadiran anggota Parlimen (MP) ke mesyuarat Dewan Rakyat sekali lagi dibangkitkan malam ini apabila seorang ahli Parlimen mengadu ramai MP dari kedua-dua belah gagal hadir ke sesi perbahasan meskipun isu yang dibincangkan berkepentingan nasional.
Awang Hashim (Pas-Pendang) menarik perhatian bahawa kehadiran pada sesi petang persidangan hari ini amat rendah iaitu tidak lebih 20 peratus.
“Saya mengira dari pukul 4 petang hingga sekarang (7.30 malam) paling ramai hanya 38 orang sahaja (berada di dalam dewan) daripada 222 ahli Parlimen,” katanya semasa memulakan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat malam ini.
“Perkara itu perlu dititikberatkan jika semua pihak serius untuk membuat perubahan terhadap institusi Parlimen,” katanya.
Beliau turut menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya mengambil serius keadaan itu dan mencari kaedah untuk mencegahnya. – Bernama











