Ke mana perginya menteri-menteri Kabinet? - Utusan Malaysia

Ke mana perginya menteri-menteri Kabinet?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP gerak-geri dan tutur kata semua menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan termasuk dalam sidang Dewan Rakyat sentiasa berada dalam radar orang ramai.

Rakyat tidak mengharapkan mereka akan memberi bulan dan bintang. Cukuplah sekiranya anggota-anggota Kabinet melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka contohnya menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Mungkin tidak semua menteri atau timbalannya dapat mengikuti sidang sepenuhnya kerana ada tugas rasmi lain yang perlu dilaksanakan tetapi sekurang-kurangnya masih ada di antara mereka yang boleh meluangkan masa untuk berada di dalam dewan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Entah mengapa, barisan kerusi yang menempatkan menteri dan timbalan menteri kelihatan lengang semasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membahaskan usul Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Situasi yang dirakamkan oleh Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah itu seterusnya dimuat naik dalam laman Facebook miliknya sebelum tular sehingga mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan netizen.

Masalah kehadiran khususnya melibatkan penyokong kerajaan pernah dibangkitkan semasa Dewan Rakyat bersidang Julai lalu dan mesyuarat Kabinet yang diadakan setiap Rabu dikatakan menjadi puncanya.

Cuma semalam, alasan sama tidak boleh dikitar semula kerana Kabinet tidak mengadakan mesyuarat pada hari Selasa.

Maka, tidak hairanlah apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya memberi markah antara 40 hingga 50 peratus ketika menilai prestasi Kabinetnya.

Masih banyak yang mereka perlu lakukan untuk meraih markah yang lebih tinggi bukan sahaja daripada Dr. Mahathir malah rakyat yang mengundi mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini