IPOH 23 Okt. – Beberapa buah rumah di perkampungan Orang Asli di Kampung Pawong, Pos Raya dekat Simpang Pulai mengalami keretakan disebabkan oleh pergerakan tanah di kawasan berkenaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.03 petang.
“Operasi pemantauan sedang dijalankan walaupun tiada mangsa yang terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Pawong, Ismail Balah berkata, beliau telah mengarahkan tiga keluarga meninggalkan kediaman mereka untuk menumpang di rumah jiran semalam selepas mengesan rekahan-rekahan kecil.
“Kejadian ini menyebabkan rekahan tanah sepanjang kira-kira 150 meter di sini. Setakat ini, tiga rumah dan sebuah surau dilihat sebagai tidak selamat,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan pergerakan tanah itu disebabkan oleh hujan lebat sejak sebulan lalu. – UTUSAN ONLINE











