GEORGR TOWN – Operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong, Jalan Bukit Kukus, Relau di sini dihentikan sepenuhnya kira-kira pukul 5.35 petang tadi.
Pengarah Bomba Negeri, Saadon Mokhtar berkata, keputusan tersebut diambil selepas mendapati tiada lagi mangsa berada di tiga sektor berkenaan.
“Operasi SAR mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Tiada lagi mangsa yang ditemui di lokasi kejadian dan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba telah mengesahkan kawasan itu negatif.
“Kita telah menggali timbunan tanah runtuh itu dengan kedalaman 10 meter sehingga ke tanah asa,” katanya di sini sebentar tadi.
Kejadian tanah runtuh berlaku kira-kira pukul 1.15 petang, Jumaat lalu itu telah mengorbankan seramai sembilan mangsa manakala empat orang dilaporkan cedera. – K! ONLINE











