Cubaan dua nelayan warga Thailand seludup diesel bersubsidi gagal - Utusan Malaysia

Cubaan dua nelayan warga Thailand seludup diesel bersubsidi gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Tindakan dua orang nelayan warga Thailand yang cuba menyeludup minyak diesel bersubsidi ke negara itu berjaya digagalkan oleh Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Perlis hari ini.

Ketua Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, bot peronda APMM berjaya menahan sebuah bot nelayan yang mencurigakan sedang menuju ke perairan Thailand.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua nelayan termasuk tekong lelaki warga Thailand yang masing-masing berusia 55 hingga 62 tahun di dalam bot itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan selanjutnya mendapati tempat menyimpan ikan bot itu telah diubahsuai untuk dijadikan tangki minyak.

“Di dalam tempat menyimpan ikan itu terdapat dua tong drum serta tiga tong kecil yang keseluruhannya mengandungi 1,400 liter diesel.

“Bot itu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubahsuai vesel tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan melanggar syarat lesen. 

“Kedua-dua nelayan dan bot dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Bot nelayan itu ditahan pada jarak lebih kurang dua batu nautika berhampiran pantai Kuala Perlis. 

Nilai keseluruhan diesel itu kira-kira RM2,310 dan kedua-dua suspek ditahan reman selama 15 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini