KUALA LUMPUR – Usaha mengesan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low di China perlu dilakukan menerusi kerjasama antara kerajaan dan bukannya secara peribadi, kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Adalah lebih baik sekiranya mereka yang mempunyai maklumat tertentu mengenai keberadaan Jho Low untuk bekerjasama dengan kerajaan, katanya.
Beliau diminta mengulas kenyataan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam yang berkata, beliau secara peribadi sedia membantu mengesan Jho Low di China bagi menyelesaikan isu berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
“Satu kenyataan menarik daripada beliau (Hishammuddin), tetapi jika beliau ada maklumat beliau boleh berikan pada pihak kerajaan itu cara terbaik untuk bawa pulang Jho Low yang diperlukan untuk siasatan.
“Perkara seperti ini perlu melibatkan kerjasama agensi antara Malaysia dan China dan ia juga melibatkan undang-undang, sepatutnya ini tidak menjadi satu usaha peribadi tetapi mesti diusahakan antara kerajaan dan kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini. – Bernama











