TELUK INTAN 23 Okt. – Kerana tidak dapat menahan rasa sebak, seorang lelaki pengsan ketika bertemu ibu kandungnya hari ini setelah terpisah sejak dilahirkan 39 tahun lalu.
Yusuf Aslan Ahmad, 39, rebah dan pengsan selama kira-kira lima minit sebaik sahaja menatap wajah ibu kandungnya, Jamilah Sukarman, 54, yang dirawat di Hospital Teluk Intan kerana menderitai angin ahmar.
Ini menyebabkan keadaan di wad tempat Jamilah dirawat kecoh seketika sehingga Yusuf terpaksa dibantu oleh jururawat.
Sebelum itu, ketika ditemui wartawan, Yusuf yang dilahirkan dan menetap di Jerantut, Pahang berkata, dia terpisah dengan ibunya sejak dilahirkan selepas ibunya telah menyerahkannya kepada bapanya.
Katanya, selepas ibu dan bapanya berpisah, dia diserahkan kepada keluarga angkat iaitu bapa saudaranya sendiri.
“Apabila saya berusia 10 tahun, saya mula mencari ibu kandung saya dengan pelbagai cara termasuk bertanyakan kepada saudara mara malah yang terbaru melalui laman sosial Facebook.
“Dengan usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Teluk Intan, mereka akhirnya berjaya menemukan ibu kandung saya yang menetap di Kampung Air Hitam dekat sini,” katanya.
Menurut Yusuf, dia gembira kerana akhirnya dapat menatap wajah ibunya dan tidak menyangka ibunya menderitai sakit angin ahmar dan kini separuh lumpuh.
“Saya sedih kerana mendapat tahu ibu menghidap angin ahmar sejak sembilan tahun lalu dan semakin serius sejak beberapa minggu lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Armada PPBM Teluk Intan, Muhammad Faizul Mohamed Ismail berkata, pihaknya mengatur pertemuan semula dua beranak itu setelah berjaya menemukan Jamilah baru-baru ini.
“Pertemuan Yusuf dan ibunya terpaksa dibuat di Hospital Teluk Intan kerana Jamilah sedang menerima rawatan di hospital berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











