BALIK PULAU – Seramai 12 mangsa banjir dari tiga buah kediaman di sini mula dipindahkan di pusat penempatan sementara yang terletak di Sekolah Kebangsaan Titi Teras di sini sebentar tadi.
Kejadian banjir kilat berlaku akibat hujan lebat yang berterusan lebih dua jam sejak pukul 1 petang tadi.
Pengarah Bomba negeri, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian air naik pada pukul 2.47 petang.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian mendapati tiga buah rumah yang menempatkan seramai 11 dewasa dan seorang kanak-kanak mula dinaiki air pada paras dua hingga tiga kaki.
“Mangsa yang terperangkap telah dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Titi Teras dengan bantuan kenderaan pacuan empat ronda.
“Keadaan banjir ketika ini semakin surut dan hujan telah pun berhenti. Operasi menyelamat mangsa masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi di sini tadi. – K! ONLINE











