BACHOK – Mayat seorang bayi perempuan cukup sifat ditemui di tempat pembuangan sampah di belakang Pasar Wakaf Zin, Tawang di sini hari ini.
Mayat bayi malang dibungkus dengan kain berwarna kuning itu ditemui kira-kira pukul 12.20 tengah malam oleh seorang lelaki sebelum dia memaklumkan kejadian tersebut di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Bachok.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, lelaki tersebut mendakwa melihat seorang lelaki dan wanita bertengkar di kawasan pembuangan sampah tersebut.
“Ketika menghampiri pasangan itu, kedua-dua mereka terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna gelap.
“Pemeriksaan di kawasan tersebut telah menemui mayat bayi perempuan itu cukup sifat dan masih mempunyai tali pusat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bagaimanapun, bayi tersebut telah disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Bachok dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Setakat ini, tiada lagi tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian tersebut diminta menghubungi Inspektor Nor Afidah Mohd. Ariffin di 09-778822 atau tampil di IPD Bachok. – K! ONLINE











